Ticker

6/recent/ticker-posts

Sekarang Masa ‘Tur-baik’ untuk Melancong di Türkiye


Sekarang Masa terbaik untuk Melancong di Turki

Rakyat Malaysia kini boleh menziarahi Türkiye dengan sekatan COVID-19 yang minimum

Setelah sekian lama terkurung di rumah, kebanyakan orang mungkin tidak sabar lagi untuk keluar dari rumah, walaupun sekadar ke kedai runcit. Mulai 11 Oktober 2021, perjalanan rentas negeri serta ke luar negara telah dibenarkan kepada mereka yang telah lengkap vaksinasi, di mana Malaysia telah merupakan antara 10 negara teratas di dunia dari segi jumlah penduduk yang telah lengkap vaksinasi. Anda mungkin telah mula menempah percutian ke Pulau Pinang, Pulau Langkawi dan destinasi pelancongan domestik yang lain tetapi impian pengembaraan anda ke destinasi di luar negara masih belum menjadi kenyataan. Tahukah anda, sebenarnya anda sudah boleh merancang untuk melancong sejauh Türkiye melalui satu pengalaman perjalanan yang lebih mudah!

Di Türkiye, lokasi di mana temunya rantau-rantau Timur dan Barat, anda pasti akan menemui apa yang diingini selama ini – tidak kiralah sebuah penjelajahan tapak arkeologi bersejarah ataupun pengalaman menyelam di lautan yang terindah di dunia. Imej-imej pemandangan indah dengan belon-belon udara panas pastinya akan muncul dalam pencarian Google bagi negara ini. Cara pengangkutan yang luar biasa ini boleh dinikmati di beberapa tempat tetapi Cappadocia perlu dimasukkan dalam senarai tempat yang wajib dikunjungi untuk tujuan tersebut, terutamanya semasa matahari tenggelam dengan pemandangan struktur batu-batan semula jadi indah yang dikenali sebagai ‘cerobong asap pari-pari’.

Anda juga boleh berendam di kolam air mata panas Pamukkale. Pusaran airnya di sini kelihatan bagai ‘kastil kapas’, yang juga merupakan asal-usul nama tempat ini. Dengan musim sejuk yang kian menjelang, mulai Disember hingga Februari, para penggemar aktiviti lasak harus mengunjungi Bursa, sebuah destinasi pergunungan bersalji untuk bermain ski. Buat mereka yang inginkan sesuatu yang luar biasa, kunjungilah pinggiran pantai Laut Hitam, di mana terletaknya Biara Sümela yang dibina atas sebuah tebing yang curam dan juga Uzungöl, dengan pemandangan hutan pokok pain umpama sebuah perkampungan Eropah yang indah.

Kepada penggemar makanan pula, jika aiskrim adalah satu-satunya makanan Türkiye yang pernah anda cuba, maka perjalanan ini amat berbaloi untuk anda. Nikmatilah cita rasa unik dari setiap wilayah seperti ‘simit’, snek roti rangup yang boleh didapati dari gerai tepi jalan atau ‘midye dolma’, hidangan kekupang yang disumbat dengan nasi, rempah, bawang dan buah kismis.

Cara ke Türkiye

Visa tidak diperlukan bagi warganegara Malaysia yang ingin memasuki negara Türkiye. Anda hanya perlu sediakan pasport dengan tempoh sah enam bulan dari tarikh ketibaan untuk mendapatkan kebenaran lawatan sosial di Türkiye selama 90 hari. Semua warganegara Malaysia, tanpa mengira status vaksinasi dibenarkan melawati negara Türkiye. Mereka yang telah lengkap vaksinasi dikecualikan daripada ujian saringan COVID-19 Polymerase Chain Reaction (PCR). Semua vaksin termasuk Sinovac diluluskan untuk tujuan kecemasan oleh Kementerian Kesihatan Republik Türkiye, bukan seperti negara-negara Eropah yang lain. 

Individu yang pernah dijangkiti Covid-19 dalam tempoh enam bulan sebelumnya juga dibenarkan melawati Türkiye dengan dokumen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara yang berkenaan. Sebaliknya, mereka yang belum divaksinasi atau separa vaksinasi adalah wajib untuk menyerahkan keputusan ujian PCR yang negatif, sekurang-kurangnya 72 jam sebelum ketibaan mereka di Türkiye, atau keputusan negatif ujian rapid antigen, sekurang-kurangnya 48 jam sebelum ketibaan di Türkiye.

Anda juga boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu menjalani kuarantin hotel yang membosankan setibanya di Türkiye. Negara ini telah mengambil langkah berjaga untuk memastikan semua warga kerja pelancongan mendapat vaksinasi lengkap agar keselamatan pelancong lebih terjamin. Program vaksinasi ini melibatkan warga kerja di syarikat penerbangan, lapangan terbang, tempat penginapan, agensi pelancongan dan juga pemandu pelancong profesional.

Tiket penerbangan sudah ditempah dan anda sudah pun bersedia dengan kemasan pakaian yang bakal digayakan untuk posting Instagram. Tetapi, sebelum anda menaiki pesawat ke destinasi percutian idaman anda, anda perlu mengisi Borang Ketibaan Pelawat (Traveller Entry Form) (https://register.health.gov.tr/). Sediakan butiran peribadi anda termasuk nombor pasport dan nombor penerbangan serta alamat tempat penginapan anda di Türkiye. Selepas borang tersebut dilengkapkan, anda akan diberikan satu kod QR HES, seumpama kod MySejahtera, tetapi ia hanya perlu digunakan di sesetengah tempat sahaja seperti muzium dan dewan konsert. Simpan kod ini untuk diguna pakai ketika anda mendaftar masuk ke penerbangan anda di KLIA.

Ia adalah penting untuk memastikan anda mempunyai perlindungan insurans kesihatan untuk COVID-19 serta bekalan wang tunai yang mencukupi. Türkiye juga menawarkan Insurans Bantuan Perlindungan Pelancong, satu pakej perlindungan insurans perjalanan khas yang menawarkan perlindungan rawatan perubatan untuk COVID-19. Tawaran itu sememangnya akan memberi lebih jaminan kepada mereka yang tiba di negara tersebut.

Terutama sekali, pastikan bahawa anda sentiasa mendapat informasi terkini berkenaan peraturan COVID-19 bagi ketibaan di Türkiye kerana ia mungkin akan berubah dari semasa ke semasa. Amat jelas bahawa perjalanan ‘norma baharu’ sebegini mungkin memerlukan persediaan yang lebih rapi tetapi inilah masanya untuk anda menempah percutian ke Türkiye!

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.goturkiye.com/.

Mengenai Turki

Terletak di kawasan Mediterranean dan menghubungkan benua Asia dan Eropah yang terpisah oleh Selat Bosphorus yang terkenal. Turki adalah sebuah destinasi dan hab interaksi kebudayaan. Di samping iklim yang ideal, Turki memberi inspirasi kepada para pelancong dengan kekayaan sejarah, alam semula jadi dan gastronomi yang mencerminkan kepelbagaian yang terhasil oleh tamadun-tamadun berbeza sejak berabad lamanya. Keunikan seni dan fesyen yang menjadi sintesis kepada tradisi dan kemodenan negara yang terletak di persimpangan pelbagai kebudayaan, termasuk kemudahan membeli-belah dan hiburan yang dinamik menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia.

Untuk maklumat lanjut mengenai Turki, sila layari: https://www.goturkiye.com/

Catat Ulasan

0 Ulasan